Thursday, October 1, 2009

Dakwah Nabi Muhammad S.A.W

Nabi Muhammad sebagai rasul terakhir telah diutuskan di tengah-tengah bangsa Arab jahiliyyah kepada seluruh manusia. Firman Allah:



{وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ}(الأنبياء/107).


[21.107] Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.



Ahli sejarah mengatakan bahawa pada kurun ke 6 dan 7 masihi adalah zaman kemunduran yang paling teruk dalam sejarah manusia. Manusia pada kurun tersebut telah melupai penciptanya lantas melupai diri dan tempat kembali, hilang pedoman dan kekuatan untuk membezakan di antara kebaikan dan keburukan, telah hilang seruan para nabi sekian lama, cahaya yang mereka nyalakan telah mati oleh ribut yang melanda setelah kewafatan mereka, ataupun cahayanya teramat malap tidak dapat menyinari melainkan sesetengah hati jauh sekali untuk menerangi rumah-rumah dan negara. Ahli-ahli agama telah menarik diri daripada kehidupan. Mereka memencilkan diri di rumah ibadat, gereja-gereja dan tempat sunyi untuk menyelamatkan agama anutan mereka daripada fitnah dan keselamatan kepada diri-diri mereka, atau pun untuk mencari ketenangan, melarikan diri daripada tanggungjawab-tanggungjawab kehidupan atau takut gagal dalam perjuangan agama, politik, ruh dan material. Sesiapa yang masih kekal dalam arus kehidupan, mereka berbaik-baik dengan pemerintah –pemerintah dan ahli keduniaan, menolong mereka dalam permusuhan dan dosa, mengambil harta-harta manusia secara batil…



Keadaan ini dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya:



{هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمْ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلاَلٍ مُبِينٍ}(الجمعة/2).



[62.2]Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.


Bangsa Arab sebagaimana yang disifatkan oleh ahli sejarah dalam catatan-catatan mereka, perkataan Maharaja Parsi kepada pengantara orang-orang Islam: "aku tidak mendapati satu umat di dunia yang terlebih celaka dan berpecah belah daripada selain daripada kamu."


Tetapi, keadaan ini tiba-tiba berubah. Pada zaman Madaniyyah iaitu selepas hijrah, bangsa Arab telah keluar daripada padang pasir membuka kota-kota dan memenangi peperangan. Mereka mula mencabar kuasa-kuasa besar yang akhirnya tunduk di bawah penguasaan mereka.



Apakah rahsia di sebalik kejayaan ini? Setelah mantap akidah, pusat pemerintahan (Madinah) stabil dan kuat, ketikamana manusia telah mengenali tuhan mereka dan mengabdikan diri hanya kepada Allah, ketikamana manusia membebaskan diri daripada perhambaan sesame manusia dan syahwat, ketikamana kalimah La Ilaha illa Llah tetap dalam hati-hati manusia beserta tuntutannya…Allah SWT akan membuat semua perkara kepada sesiapa yang yang ada pada mereka perkara-perkara tersebut. Ia adalah keimanan yang hakiki kepada Allah dan rasul-Nya. Keimanan kepada Islam secara keseluruhannya.


Inilah yang telah berlaku kepada para sahabat. Mereka adalah manusia seperti kita tanpa sebarang perbezaan dalam bentuk fizikal. Nabi Muhammad telah melakukan pentarbiahan kepada generasi pertama iaitu para sahabat melalui wahyu Allah SWT.


Islam menyatakan bahawasanya kehidupan yang sebenar adalah kehidupan di akhirat. Di sana adalah kejayaan yang hakiki. Akhir manusia adalah pertemuan dengan Allah SWT yang mana manusia akan dihisab segala amalannya semasa di dunia yang akan menentukan nasin mereka sama ada syurga atau neraka. Bertitik tolak daripada akidah ini, kita dapati akhlak-akhlak terpuji ada pada sahabat. Dengan hanya mendengar firman Allah atau pun sabda Rasulullah, para sahabat terus mentaati perintah atau larangan tersebut.


Kalau dahulunya mereka bertolongan dalam perkara kebatilan, tetapi Islam menegah perkara tersebut lalu memerintahkan supaya tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.



{ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ}(المائدة/2).


[5.2] Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).


Islam menegah daripada melakukan sebarang penindasan kepada manusia secara zalim. Firman Allah:




{ وَلاَ تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ}(المائدة/87).


[5.87] dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.


Islam menegah daripada asabiyyah kepuakan dalam perkara kezaliman. Firman Allah SWT:



{إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ}(الحجرات/10).


[49.10] Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.


Islam menegah daripada adat bangsa Arab menanam anak perempuan hidup-hidup. Firman Allah SWT:



{وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ}(التكوير/8).

{بِأَيِّ ذَنْبٍ قُتِلَتْ}(التكوير/9).


[81.8] Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, -

[81.9] Dengan dosa apakah ia dibunuh?


{ وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ}(البقرة/228).



[2.228]Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Pendek kata, Islam tidak meninggalkan satu juzuk daripada bidang-bidang kehidupan yang diperlukan oleh manusia kecuali di sana ada petunjuk daripada Allah dan rasul-Nya. Firman Allah SWT:



{ وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ}(النحل/89).



[16.89] dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.



Kerana Islam adalah agama daripada Allah yang merupakan pencipta manusia.


{ وَمَنْ أَصْدَقُ مِنْ اللَّهِ حَدِيثًا}(النساء/87).


[4.87] Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?


{ وَمَنْ أَصْدَقُ مِنْ اللَّهِ قِيلاً }(النساء/122).



[4.122] Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?


Kesimpulannya, Islam telah berjaya mendidik para sahabat yang merupakan satu generasi yang tiada tandingannya sepanjang sejarah manusia. Firman Allah SWT:



{وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلاَّ لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنقَلِبُ عَلَى عَقِبَيْهِ وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلاَّ عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ}(البقرة/143).



[2.143] Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).


Quran yang menjadi sumber rujukan/hidayah wujud ditangan orang Islam pada hari ini sama seperti Quran pada zaman sahabat dan kita adalah manusia yang sama dengan para sahabat. Maka, Islam adalah cara hidup yang sesuai kepada kita di zaman moden ini dan generasi mendatang sehingga ke hari kiamat. Firman Allah SWT:


{فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لاَ تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ}(الروم/30).



[30.30] (Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Read more...

Sunday, September 13, 2009

Kemuliaan Bulan Ramadhan dan Kelebihannya (2)


[2] Disyariatkan Ibadat Puasa



Sabda Rasulullah SAW: sesiapa yang puasa Ramadhan dengan keimanan dan ihtisab, diampunkan baginya dosa yang telah lalu- HR Bukhari dan Muslim.



Dengan keimanan ialah membenarkan bahawasanya ia adalah benar yang diktikadkan kelebihannya. Ihtisab ialah semata-mata kerana Allah SWT bukan menghendaki pandangan manusia atau selainnya yang bertentangan dengan ikhlas. Sesiapa yang memenuhi dua syarat tersebut akan mendapat keampunan terhadap dosa yang telah lalu.



Imam Al-Ghazali membahagikan peringkat orang yang berpuasa kepada 3 bahagian:



1. Puasa Umum

Iaitu orang yang hanya menahan diri daripada makan minum dan jima'. Ini adalah puasa kebanyakan manusia.


2. Puasa Khusus

Iaitu menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan , kaki, dan kesemua anggota daripada dosa dan maksiat.



3. Puasa Khususul Khusus

Iaitu puasa hati daripada kepentingan-kepentingan yang rendah, fikiran-fikiran tentang keduniaan, menahan hati daripada selain Allah SWT secara keseluruhannya. Melalui peringkat puasa ini, puasa akan terbatal (secara majaz/kiasan) dengan memikirkan perkara selain Allah SWT, hari akhirat, dan memikirkan tentang dunia kecuali perkara dunia untuk mencapai akhirat kerana yang demikian itu adalah daripada bekalan akhirat. Ini adalah peringkat para Nabi, siddikin dan muqarrabin.


Peringkat yang kedua iaitu puasa khusus adalah puasa orang-orang yang soleh iaitu menahan anggota daripada dosa-dosa yang mana kesempurnaannya bergantung kepada 6 perkara:



1. merendahkan pandangan dan menahannya dalam melihat setiap sesuatu yang dicela, dibenci dan terhadap setiap perkara yang melalaikan hati daripada mengingati Allah .



2. menjaga lidah daripada cakap merapu, dusta, mengumpat, mengeji, mancarut, pertengkaran, meninggi diri dan memastikannya sentiasa diam serta menggunakannya untuk berzikir kepada Allah dan membaca Al-Quran. Ini adalah puasa lidah. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis qudsi : Allah SWT berfirman: setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Aku memberikan ganjaran dengannya. Puasa adalah perisai, pada hari berpuasa seseorang daripada kamu, maka janganlah dia jima' dan berteriak, apabila seseorang mencacinya atau memeranginya maka katakan sesungguhnya aku berpuasa. Dan demi jiwa Muhammad yang berada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa beroleh dua kegembiraan dia akan gembira dengan keduanya: apabila berbuka puasa dia gembira dengannya dan apabila berjumpa dengan Tuhannya dia gembira dengan puasanya-HR Muslim.



3. menahan telinga daripada mendengar setiap perkara yang makruh kerana setiap perkara yang diharamkan mengatakannya maka haram mendengarnya. Oleh yang demikian Allah SWT menyamakan di antara orang yang mendengar dan orang yang memakan harta syubhat. Firman Allah SWT :


{ سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ }(المائدة/42).

[5.42] Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).


Firman Allah SWT:


{لَوْلاَ يَنْهَاهُمْ الرَّبَّانِيُّونَ وَالأَحْبَارُ عَنْ قَوْلِهِمْ الإِثْمَ وَأَكْلِهِمْ السُّحْتَ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَصْنَعُونَ}(المائدة/63).

[5.63] Alangkah baiknya kalau ketua-ketua ugama dan pendita-pendita mereka melarang mereka dari mengeluarkan perkataan-perkataan yang dusta dan dari memakan yang haram? Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.


Diam terhadap umpat cela adalah haram sebagaimana firman Allah SWT:


{وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا}(النساء/140).

[4.140] Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang manufik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.


4. menahan anggota-anggota lain daripada dosa-dosa seperti tangan dan kaki daripada perkara yang makruh, menahan perut daripada makanan yang syubhat semasa berbuka puasa. Tiada makna bagi puasa yang menahan daripada makanan yang halal kemudian berbuka puasa dengan makanan yang haram. Sabda Rasulullah SAW: boleh jadi orang yang berpuasa , tidak mendapati daripada puasanya melainkan lapar, dan boleh jadi orang yang sembahyang malam (qiamullail) tidak mendapati daripada qiamnya kecuali berjaga malam- HR Ibnu Majah (hasan sahih). Dikatakan dia adalah orang yang berbuka puasa dengan makanan haram atau orang yang menahan diri daripada makanan halal tetapi berbuka dengan memakan daging manusia dengan umpat cela yang mana ia adalah haram atau orang yang tidak menjaga anggotanya daripada dosa-dosa.



5. tidak memperbanyakkan makanan yang halal sewaktu berbuka sehingga memenuhi perut. Sebagaimana maklum, maksud berpuasa ialah mengosongkan dan mematahkan hawa nafsu untuk menguatkan diri dalam taqwa. Ruh puasa dan rahsianya adalah melemahkan kekuatan yang merupakan wasilah syaitan untuk kembali kepada keburukan. Perkara ini tidak akan sekali-kali tercapai kecuali dengan mengurangkan makan iaitu hanya memakan makanan seperti hari-hari biasa ketika tidak berpuasa. Bahkan di antara adab-adab puasa, tidak banyak tidur pada siang hari sehingga merasai lapar, dahaga dan merasai keletihan. Maka akan jernih hatinya ketika itu.


6. hendaklah hatinya setelah berbuka puasa bergantung dan gelisah di antara takut dan harap kerana dia tidak mengetahui adakah puasanya diterima maka dia menjadi orang yang dekat dengan Allah SWT ataupun ditolak maka dia tergolong dalam orang-orang yang dimurkai. Dia mestilah sentiasa dalam keadaan yang demikian dihujung setiap ibadat yang diselesaikan.

Read more...

Tuesday, September 8, 2009

Kemulian Bulan Ramadhan dan Kelebihannya (1)


[1] Dibuka Pintu-Pintu Langit, Ditutup Pintu-Pintu Neraka Serta Dibelenggu Syaitan-Syaitan



Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu langit, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan- HR Bukhari dan Muslim.



Manusia mempunyai dua musuh utama yang sentisa menyeru kepada maksiat dan dosa. Kedua-dua musuh tersebut adalah syaitan dan hawa nafsu. Dalam bulan Ramadhan manusia hanya berdepan dengan satu musuh iaitu hawa nafsu dalam diri sendiri. Bulan Ramadhan merupakan waktu yang paling tepat untuk manusia berdepan dengan hawa nafsunya dalam mengenali diri secara lebih serius.



Kita melihat kebaikan, kemurahan hati dan peningkatan amal berlaku pada bulan Ramadhan secara drastik kepada kebanyakan manusia. Bagi mereka yang ingin mengubah diri ke peringkat yang lebih baik, sepatutnya menggunakan peluang di bulan Ramadhan sebagai tempat permulaan. Latihan selama sebulan dalam ibadat puasa, sembahyang sunat terawih, sedekah, zikir dan sebagainya sedikit sebanyak akan meninggalkan kesan kepada diri dan mereka yang benar di dalam mujahadah akan meneruskan ibadat-ibadat tersebut sehingga datang Ramadhan yang seterusnya.

Read more...

Monday, September 7, 2009

Puasa

Muqaddimah

Allah SWT menjadikan manusia dengan tujuan perhambaan yang hakiki kepada-Nya. Nikmat yang terlalu banyak diberikan jika mahu dibandingkan dengan amalan akan menginsafkan manusia yang akur dengan sifat rahmat Tuhannya. Jika Allah SWT menuntut kesemua nikmat-Nya daripada manusia supaya dibayar maka, kita semua pasti tidak akan selamat daripada siksa-Nya. Mengapa tidak, amalan atau ibadah yang dilakukan oleh manusia adalah berpunca daripada nikmat Allah jika difikirkan dengan teliti. Apabila pendengaran, penglihatan dan akal manusia di tarik balik oleh Allah SWT, pada waktu itu setiap diri akan dapat menilai betapa agung nikmat dan rahmat yang telah dikecapi selama ini. Firman Allah SWT:

{قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ أَخَذَ اللَّهُ سَمْعَكُمْ وَأَبْصَارَكُمْ وَخَتَمَ عَلَى قُلُوبِكُمْ مَنْ إِلَهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُمْ بِهِ انظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الآياتِ ثُمَّ هُمْ يَصْدِفُونَ}(الأنعام/46).
[6.46] Katakanlah (wahai Muhammad): "Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu, dan Ia pula memeteraikan atas hati kamu? Siapakah Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?" Lihatlah bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling - ingkar.

Allah SWT menghendaki supaya hamba-Nya manjadi manusia yang bersih rohani dan jasmani. Oleh kerana itu, para Rasul telah diutuskan . Firman Allah SWT:

{هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمْ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلاَلٍ مُبِينٍ}(الجمعة/
2).
[62.2] Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Kali ini, bulan Ramadhan muncul lagi sebagaimana tahun-tahun yang sudah. Bulan yang merupakan kurniaan Allah kepada hamba-Nya untuk membersihkan diri daripada dosa dan kemaksiatan. Daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: sembahyang lima waktu, jumaat sehingga jumaat, ramadhan sehingga ramadhan adalah sebagai kafarah dosa di antara keduanya apabila manusia meninggalkan dosa besar- HR Muslim .

Allah SWT menjadikan setiap hari, bulan dan tahun musim-musim untuk manusia menyucikan dirinya daipada dosa-dosa. Orang yang ingin dirinya sentiasa dibersihkan oleh Allah SWT akan menggunakan peluang yang ditawarkan ini dengan harapan supaya dirinya mendapat rahmat Allah di akhirat kelak.
Firman Allah SWT:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمْ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ}(البقرة/183).
[2.183] Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Ayat tersebut menyatakan bahawasanya puasa Ramadhan merupakan salah satu jalan yang mudah-mudahan dengannya, ketakwaan kepada Allah dapat dicapai. Ini adalah firman Allah yang mesti kita renung dan fikirkan. Banyak ayat Al-Quran yang lain menganjurkan kepada manusia supaya bertakwa kepada Allah SWT. Persoalannya, puasa yang bagaimanakah akan membuahkan taqwa kepada Allah SWT?

Read more...

Monday, June 1, 2009

Ulama dan Amanah Menyampaikan Ilmu

Ulama adalah pewaris para Nabi. Warisan para Nabi adalah ilmu pengetahuan. Maka, tugas para Nabi adalah tugas para ulama. Firman Allah SWT:

[3.187] Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya".

Allah SWT telah mengambil perjanjian daripada ahli kitab supaya menyampaikan ilmu dan jangan menyembunyikannya. Bukankah kita umat Islam telah diberikan kitab Al-Quran yang mana orang yang mengetahui tentang Al-Quran ialah golongan ulama? Perjanjian ini adalah di antara Allah dan ulama. Sungguh pun begitu, orang Islam yang bukan ulama jangan berasa senang hati, adakah kita telah mengikut ajaran Al-Quran dan Sunnah yang disampaikan oleh para ulama? Sesungguhnya tiada siapa yang akan terlepas kerana Allah SWT pasti akan mempersoalkan janji-Nya. Firman Allah SWT:

[28.65] Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya: "Apa jawab kamu kepada Rasul-rasul yang diutus kepada kamu dahulu?

Apakah jawapan kita? Terserah kepada diri masing-masing. Apa yang penting, marilah kita bersatu dalam menyampaikan dakwah Islam sebagaimana firman Allah SWT:

[5.2] Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

[57.16] Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.

Adakah masih belum sampai lagi wahai umat Islam? Ingatlah masa terus berjalan, bila-bila masa sahaja kita akan menemui Allah SWT. Ya Allah Ya Tuhanku! Berikanlah hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui…

Read more...

Thursday, May 28, 2009

Maksiat-Maksiat dan Tugas Amar Makruf Nahi Munkar


Umat Islam sekarang ini kebanyakannya begitu jauh daripada ajaran Al-Quran dan Sunnah. Maksiat berleluasa secara terang-terangan. Hukum Allah SWT dan Sunnah Rasul-Nya dipinggirkan. Jika ada golongan yang mengajak kepada hukum Allah SWT, mereka akan memberikan pelbagai alasan supaya ianya tidak dapat dilaksanakan dan lebih malang lagi hukum-hukum Allah SWT dianggap zalim dan tidak sesuai lagi di zaman ini. Sedangkan jika mereka mengaku beriman kepada Al-Quran, bukankah Allah SWT menyatakan dalam firman-Nya:

[5.44] dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.

[5.45]; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

[5.47] dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

[4.65] Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

[5.49] Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.

Kes-kes zina dan liwat yang begitu banyak berlaku. Dimanakah umat Islam dengan firman Allah SWT:


[24.2] Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

Arak, judi, rasuah, pembunuhan, pecah amanah, kezaliman dan pelbagai jenis maksiat dapat dilihat dalam masyarakat Islam hari ini. Adakah mereka tidak membaca firman Allah SWT:


[5.90] Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.


[2.278] Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

[2.279] Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.


[2.179] Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

[5.38] Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

[5.8] Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Ini adalah sebahagian daripada perintah Allah SWT kepada orang yang mengaku beriman. Bandingkan keadaan masyarakah Islam pada hari ini dengan ayat-ayat Al-Quran di atas. Betapa jauhnya umat Islam daripada ajaran agama mereka sendiri.

Dimanakah para ulama, pendakwah, pelajar-pelajar agama dan orang-orang yang cemburu terhadap ajaran Islam? Tugas siapakah untuk mengembalikan umat Islam kepada ajaran Islam?

Tidak ada kebaikan bagi kita, jika sekiranya kita tidak melakukan tugas menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang merupakan tanggungjawab utama kepada para ulama. Wahai ulama Islam! Dimanakah kamu semua? Kenapa masih lagi bertelingkah di dalam perkara cabang yang merupakan masalah ijtihad?

Kita mempunyai perkara-perkara yang telah menjadi persepakatan dalam agama Islam. Kenapa kita tidak mahu bersatu dalam menjelaskan perkara-perkara yang menjadi persepakatan dalam Islam? Adakah perkara-perkara yang telah disebut tadi bukan maksiat yang mesti ditegah? Apakah kesan daripada meninggalkan amar maaruf nahi munkar?

Mari kita perhatikan dengan penuh insaf firman Allah SWT dalam Al-Quran dan sabda Rasulullah SAW:

[5.78] Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.

[5.79] Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.


Daripada Huzaifah bin Alyaman daripada Nabi SAW bersabda: demi yang diriku di tangan-Nya, hendaklah kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau pun hampir-hampir Allah ingin mengutuskan ke atas kamu balasan hukuman daripada-Nya, kemudian kamu berdoa kepada-Nya lalu tidak diterima bagi kamu. ( HR Tirmizi No: 2169 ) Berkata Tirmizi: Hadis ini Hasan.

Read more...

Tuesday, May 26, 2009

Tanda-Tanda Allah SWT Ingin Membinasakan Suatu Kaum


Allah SWT menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia. Dia telah menyatakan secara jelas apakah perkara-perkara yang diredhai dan apakah perkara-perkara yang dimurkai. Oleh itu, para Rasul telah diutuskan kepada manusia. Jadi, tiada alasan bagi manusia untuk menyalahkan Allah SWT atau Rasul-Nya kerana segala petunjuk telah dijelaskan. Manusia sendiri yang bersalah kerana mereka menolak petunjuk Allah SWT dan Rasul-Nya atau tidak mengendahkan petunjuk Al-Quran dan Sunnah.

Allah SWT menyatakan di dalam Al-Quran bagaimanakah caranya Dia membinasakan suatu negeri. Firman Allah SWT:

[17.16] Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.

Dalam pentafsiran ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawasanya orang yang berpengaruh dalam masyarakat sama ada pemimpin atau pun orang yang dilimpahi dengan nikmat dunia akan melakukan kefasikan, kemaksiatan, kekufuran dan keluar daripada mentaati Allah SWT, maka dengan sebab-sebab ini mereka berhak untuk mendapat azab Allah SWT. Lalu Allah SWT menghancurkan sebuah negeri tersebut.

Perlu diingat, azab Allah tidak hanya berlaku kepada orang yang membuat maksiat sahaja, tetapi ia akan melibatkan semua secara umum. Firman Allah SWT:

[8.25] Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Read more...

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP